Friday 3 July 2009

RentakTariHidup...


Hari ini aku masih terus bernafas. Bukan percuma nilai nafas ini. Ada tanggungjawab padanya. Terus lagi menghirup nikmat Allah ini dan betapa semestinya dan sewajibnya setiap makhluk itu bersyukur atasnya. Alhamdulillah. Kalimah yang ringan dipinggir bibir namun berat di sisi mizan Allah. Namun terus lagi alpa padaNya selagi nikmat itu belum ditarik, selagi nyawa masih utuh bersemadi nyaman merangkum jasad. Apa lagi yang perlu kutunggu, adakah sehingga nafas itu sudah tiba di halkum cuma atau terlambat nanti sehingga jasad ini bersemadi dibawah sana. Umur bukan jaminan bukan. Rentapan sang malaikat tidak menunggu walau sesaat. Hanya menuggu takdir Allah cuma. Lalu dia sang malaikat menjalankan tanggugjawab yang telah digalaskan padanya begitu sempurna sekali, penuh kepatuhan tanpa memberikan kesempatan. Kerana dia juga punya tugas untuk dilakukan. Dunia itu bukan sekadar dunia. Tetapi jambatan untuk ke destinasi cintaku. Bertemu dengan pertemuan yang telah dijanjikan. Itu janjinya. Dan aku sering lupa. Walau lorong gelap itu telah beberapa ku lalui, namun DIA masih memancarkan sinar, walau gelap jalan itu, masih ada cahaya yang membantu. Itu sifatNya dan aku terus lagi leka. Dengan hamparan dunia yang membuatkan hatiku buta tidak melihat dan tuli pada setiap kebesaranNya walaupun dekat sekali denganku.

Tarian sang sufi terus merentak. Rentaknya masih sama tapi ada kelainan pada wajahnya. Terus sugul sekalipun kaki menapak. Mencari rentaknya yang hilang dalam alunan zikir yang dalam dan panjang. Air matanya terus menitis. Basah janggutnya kerana deraian air mata itu. Rentaknya tidak perlahan dan tidak juga pantas. Sekadar cuma. Masih tidak ada sekelumit senyuman pada rautnya. Hanya muram dan suram pada kepekatan malam menghadap KEKASIHnya. Dahinya jelas
athar as-sujud, manifestasi sebuah cinta padaNya, merindu setiap ketika. Di pinggir malam itu dia duduk muram. Muhasabah satu retrospektif diri menilai sejauh dan sedalam mana rindu dan cintanya pada Allah. Hanya dibibir cuma atau sekadar melihat dan membiarkan cinta itu pergi? Hatinya hening sebening mentari yang baru menapak naik di kaki langit. Sedamai sinar dhuha yang turut bersedih. Dia masih lagi disejadah. Mengungkap kata cintanya. Kerana dia tahu Allah Maha Mendengar kalimah2 cintanya. Hatinya dulu juga pernah luka. Pernah walau sekali, yang pastinya sekali. Dan kali ini, darah seakan mengalir pada luka yang sama. Baru dia mengerti sejauh mana kasih dan rindunya pada Allah. Allah melihat kamu sebagaimana kamu melihatnya. Jauh sekali. Dalam kalbunya memohon maghfirah atas rentaknya dahulu. Rentak yang membuatkan dia terus asyik dan masyghul dalam kehinaan hati dan perasaan. Apakah itu namanya CINTA?

No comments: